Perbezaan Antara Ibadah Aqiqah & Qurban

Apa beza antara aqiqah dan qurban? Berapa banyak yang boleh diambil orang yang melaksanakan qurban selain disedekahkan kepada orang ramai dan adakah aqiqah diberikan kepada orang miskin sahaja?

 

Qurban ertinya “hampir” yang maksud tujuannya untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Ia dilakukan sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim dan seterusnya Nabi Muhammad SAW.

Berbeza dengan aqiqah, ia dibuat sebagai kesyukuran atas nikmat dikurniakan anak. Hukum kedua-duanya sunat muakkad.

 

Berkenaan dengan ibadah qurban Allah berfirman dalam Surah al-Hajj, ayat 36 yang bermaksud:

“Dan Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.”

 

Antara hadis yang menyebut berkenaan kelebihan berqurban ialah Nabi bersabda yang bermaksud:

“Tiada suatu amalan yang dilakukan manusia pada hari raya korban yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) korban itu.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

 

Sebaiknya, untuk menyembelih binatang qurban perlu memilih haiwan yang terbaik. Antara syaratnya ialah haiwan ternakan itu tidak cacat, tidak buta kedua-dua mata atau sebelah mata atau baru melahirkan anak, tidak terlalu kurus, tidak mengandung atau baru melahirkan anak, tidak berpenyakit atau tidak berkudis.

 

Apabila hendak melaksanakan ibadat qurban, kita perlu persembahkan sesuatu yang paling kita sayang atau paling baik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Lihat bagaimana kepatuhan Nabi Ibrahim terhadap arahan Allah supaya menyembelih anaknya sendiri, sedangkan itu anak yang paling baginda sayang. Tetapi disebabkan itu arahan dari Allah, maka Nabi Ibrahim tetap patuh dan taat. Sesungguhnya, itu adalah pengorbanan yang sangat agung kerana ia bukan saja berkorban menyembelih anaknya.

 

Yang paling besar ialah mengorbankan perasaan cinta dan sayang Nabi Ibrahim terhadap anaknya semata-mata kerana Allah.  Akhirnya, sembelihan Nabi Ibrahim itu diganti oleh Allah dengan seekor kibas sebagaimana yang kita maklum kisahnya.

 

Manakala bagi aqiqah Nabi bersabda yang bermaksud:

“Tiap-tiap anak itu tertebus dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama.” (Riwayat Ahmad)

 

Aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa berbeza dengan qurban. Tempoh qurban hanya boleh dilakukan selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah iaitu hari-hari tasyrik.

 

Daging qurban lebih afdal diberikan dalam keadaan mentah kepada fakir miskin, manakala daging aqiqah lebih afdal diberikan kepada orang miskin atau orang kaya dalam keadaan sudah dimasak.

 

Cara pembahagian daging korban iaitu satu pertiga untuk diri sendiri, sepertiga untuk fakir miskin dan sepertiga lagi orang yang mampu. Baca sini.

 

Sekurang-kurang qurban adalah satu bahagian daripada tujuh bahagian unta atau lembu atau kerbau. Manakala aqiqah disunatkan bagi anak lelaki dua ekor kambing, manakala anak perempuan seekor kambing. Sebaiknya disembelih tuannya atau pemiliknya, tetapi boleh mewakilkan juga kepada orang lain.

 

Imam Malik, Imam as-Syafii, Imam Ahmad dan jumhur ulama berpendapat, aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan ternakan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri sebagaimana ibadah qurban.

 

Namun, dibolehkan juga seekor unta atau seekor lembu dikongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.

 

Antara adab yang perlu diambil berat ketika menyembelih qurban ialah pastikan pisau yang digunakan tajam, disembunyikan atau tidak memperlihatkan pisau kepada binatang yang hendak disembelih melainkan ketika melakukan penyembelihan, membaringkan haiwan yang akan disembelih serta menyebut nama Allah dan bertakbir.

 

Sekiranya kita melakukan sembelihan dengan betul, ia termasuk bahagian kasih sayang kepada haiwan. Prinsipnya jika kita bersikap rahmat kepada haiwan, Allah juga akan bersikap rahmat kepada kita.

-Datuk Dr Zahazan Mohamed

 

Anda berniat untuk melaksanakan ibadah qurban dan aqiqah untuk insan yang tersayang atau untuk diri anda sendiri? Kami disini menjamin akan memberi  khidmat yang terbaik untuk anda.

Hubungi  019-4491170 (Hj.Hilmi) untuk pertanyaan lanjut berkenaan pelaksanaan qurban ini.

Artikel menarik yang lain

Ilmiah
syoknyat-admin

Perkara Harus Anda Tahu Tentang Aqiqah Untuk Bayi Anda

Perkara Harus Anda Tahu Tentang Aqiqah Untuk Bayi Anda Aqiqah adalah sunnah yang harus dilakukan setelah lahir anak anda dengan mengorbankan haiwan. Ini adalah salah satu sunnah yang wajib dilakukan setelah kelahiran anak. Dengan kata lain, aqiqah seperti sedekah yang kamu berikan.   Sebagaimana hadis dari

Baca lagi »
Ilmiah
syoknyat-admin

APAKAH PROSEDUR & KETETAPAN AQIQAH?

Apakah Prosedur dan Ketetapan Aqiqah? Saya perlu mengetahui prosedur aqiqah. Ibu bapa saya melakukan aqiqah untuk anak saya pada hari ketujuh kelahirannya. Tetapi kekeliruannya ialah kami belum menamakan anak kami. Jadi, saya tertanya-tanya apakah aqiqah ini sah menurut sunnah. Tidakkah kita harus menyebut nama anak (dan

Baca lagi »
Ilmiah
syoknyat-admin

BUAT PINJAMAN UNTUK LAKSANAKAN IBADAH QURBAN?

Membuat Pinjaman Untuk laksanakan Ibadah Qurban Adakah wajib mengambil pinjaman untuk membuat ibadah qurban? Segala puji bagi Allah.   Oleh kerana ibadah qurban ini hukumnya adalah sunnah muakad, jadi tidak perlu mengambil pinjaman untuk membeli binatang qurban, kerana tidak wajib bagi orang yang tidak kaya, menurut

Baca lagi »
Wordpress Social Share Plugin powered by Ultimatelysocial