Kedatangan 10 Zulhijah yang penuh kerahmatan, hendaklah disambut dengan berbanyak kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadat haji, dan bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, mereka telah berjaya menunaikan puasa dari 1 – 9 Zulhijjah.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah.” (Hadis riwayat Abu Hurairah).
Apabila tiba 10 hari bulan Zulhijah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Qurban, maka hendaklah pergandakan usaha untuk melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.
Pada waktu pagi hari raya Aidiladha ini, eloklah jika kita mengikut beberapa perkara sunnah yang boleh dilakukan antaranya:
a) Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
b)Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
c) Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
d) Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
e) Sunat menjamah makan-minum selepas pulang dari masjid.
f) Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
g) Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
h) Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
i) Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
j) Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
k) Elakkan menyambut hari raya dengan perkara yang ditegah syarak.
TAKBIR
Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah.
Nabi Muhammad bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” (Hadis riwayat al-Thabrani).
Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.
IBADAH QURBAN
Aidiladha disebut juga Hari Raya Qurban. Kata `Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata `dahiyah’ yang bererti haiwan Qurban. Qurban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
“Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban.Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.” Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.
Ibadah qurban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.